Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMAPerak

PDRM Komited Laksana Tugas Demi Negara

By 20 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)

IPOH, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited menjalankan tugas terutama di lapangan demi menjaga kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak Khairul Shahril Mohamed, berkata tanpa mengira penat lelah, berjauhan daripada keluarga dan pelbagai cabaran yang dihadapi, mereka tetap menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah demi bangsa dan negara.

“Setelah hampir dua tahun negara dilanda pandemik COVID-19, saya mewakili kerajaan negeri ingin menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan terutama PDRM atas jasa dan pengorbanan dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara khususnya di negeri Perak.

“Setelah 64 tahun merdeka, pengorbanan wira dan wirawati negara sentiasa dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia kerana jika dahulu, mereka berjuang untuk menuntut kedaulatan negara, namun hari ini, perjuangan ini masih diteruskan demi membebaskan negara daripada cengkaman pandemik COVID-19,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan Bersama Warga PDRM Peringkat Negeri Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini pagi tadi.

Khairul Shahril melekatkan Jalur Gemilang bermagnet pada kenderaan rasmi PDRM.

Khairul Shahril melekatkan Jalur Gemilang bermagnet pada kenderaan rasmi PDRM.

Sambutan Bulan Kebangsaan saban tahun diraikan dengan meriah namun pandemik COVID-19 sedikit sebanyak memberi kesan hingga menjejaskan program bersemuka dan perhimpunan ramai.

“Hari ini merupakan hari paling bersejarah kerana kita masih berkesempatan bersua melalui dalam talian dengan lebih 200 warga PDRM mewakili seluruh cawangan dan daerah selain bersiaran secara langsung melalui facebook Jabatan Penerangan Perak bagi menyatakan aspirasi PDRM Perak dalam menggelorakan Bulan Kebangsaan tahun 2021.

Inisiatif melaksanakan program secara hybrid iaitu digital dan bersemuka amat bertepatan dengan situasi semasa mengikut norma baharu demi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan walau dalam apa jua keadaan sekali pun,” katanya.

Hadir sama Ketua Polis negeri Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Pengarah Penerangan Perak Mohd Taip Ubah.

~RJ~

Tinggalkan komen anda