
Laporan/foto: Zurina Saad(Yan)
ALOR SETAR, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah kali ini ternyata membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dalam negara sedang menghadapi krisis pandemik COVID-19.
Menurut Menteri Besarnya Muhammad Sanusi Md Nor, terdapat sedikit kelainan dalam sambutan pada tahun ini memandangkan Negeri Kedah masih lagi berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah pada hari ini diadakan secara hibrid iaitu gabungan antara digital dan bersemuka dengan kehadiran minima dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN Fasa Satu yang ditetapkan.
“Jika dahulu sambutan dapat diadakan dengan penuh kemeriahan, namun kini semuanya dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dan inilah kebiasaan baharu yang harus kita amalkan dalam menjalankan setiap aktiviti di peringkat negeri.
“Kita hendaklah menyemarakkan lagi semangat Malaysia Prihatin kepada semua lapisan masyarakat bagi mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah kehidupan yang lebih baik,” ujarnya ketika melancarkan kempen tersebut di Wisma Darul Aman, di sini kelmarin.

Penyerahan Jalur Gemilang oleh Menteri Besar Kedah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah hari ini.
Bagi menyemarakkan semangat cintakan negara, beliau turut menggalakkan rakyat negeri Kedah untuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, di bangunan pejabat, bangunan perniagaan serta di kenderaan sempena menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-64.
“Namun begitu, masih ada dalam kalangan kita yang kurang peka dengan mengibarkan bendera lusuh dan koyak atau meletakkan Jalur Gemilang di tempat yang tidak sepatutnya dan saya percaya rakyat di Negeri Kedah ini mempunyai semangat patriotisme tinggi yang melambangkan semangat sebenar Malaysia Prihatin.
“Sempena sambutan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah tahun ini, beberapa pengisian program telah dilaksanakan dan diterajui oleh Jabatan Penerangan Negeri Kedah seperti Program Merdeka@komuniti, Program Sepakat@Komuniti, Info on Wheels Merdeka (IOW Merdeka), Pidato Kenegaraan dan lain-lain bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara,” katanya.
~RJ~