
Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Kuantan)
KUANTAN, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, semalam.
Istiadat berlangsung secara sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Tengku Hassanal menasihatkan semua wakil rakyat di negeri ini untuk mengamalkan politik lebih matang, jujur dan ikhlas demi membantu rakyat serta memajukan negara.
“Rakyat dan negara tidak wajar dibebani dengan kemelut politik dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
“Dalam keadaan wabak pandemik ini, rakyat menaruh harapan yang sangat tinggi kepada kita semua,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pahang, di sini, semalam.
Dalam pada itu, baginda bertitah agar seluruh rakyat mengamalkan langkah-langkah keselamatan dan kebersihan diri seperti yang ditetapkan oleh kerajaan berikutan jumlah kes COVID-19 di negeri ini masih tinggi.
Baginda turut mengingatkan kerajaan negeri agar terus mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) secara lestari dalam melaksanakan agenda pembangunan dan kemajuan.
“Semua pihak termasuk syarikat korporat dan swasta serta orang perseorangan perlu mengambil serius tentang pelaksanaan ESG,” titahnya.
Baginda memuji usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang telah merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak pandemik COVID-19.
Baginda mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan dengan harapan agar beliau dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab besar yang telah diamanahkan.
Persidangan Dewan Negeri Pahang akan berlangsung selama empat hari bermula semalam, 23 Ogos 2021 sehingga 26 Ogos 2021.
-AH-