
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)/ Pusat Khidmat Masyarakat Tepoh
KUALA NERUS, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Pemimpin setempat berganding bahu bagi menangani krisis air apabila sebahagian penduduk di daerah ini dan Kuala Terengganu kembali mengalami gangguan bekalan air pada Isnin lalu.
Pemimpin setempat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh Hishamuddin Abdul Karim, berkata pihaknya telah mewujudkan Pasukan Petugas Krisis Air Tepoh bagi memastikan para penduduk dan rumah yang terjejas diberi bantuan dengan kadar segera.
“Pasukan petugas ini diperkukuhkan dengan adanya bantuan sumbangan daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sepanjang krisis air berlangsung.
“Seperti yang sedia maklum, gangguan bekalan air yang berlaku kepada sebahagian penduduk Kuala Nerus, khususnya di Tepoh telah bermula pada awal bulan lalu dan berjaya diselesaikan selang sepuluh hari selepas bekalan kembali pulih,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebanyak 60,000 liter air sehari dibekalkan di Dewan Serbaguna Tepoh untuk kegunaan orang ramai yang terkesan dengan krisis air ketika ini.
Menurut Hishamuddin, gangguan bekalan air buat kali kedua itu disifatkan lebih buruk berbanding krisis pertama berikutan paip dasar Sungai Tangki Berangan yang patah.
“Pihak kami mengambil maklum dan segera mengaktifkan serta menggerakkan Pasukan Petugas Krisis Air Tepoh dan sebanyak 70 buah tangki statik telah mula ditempatkan di kawasan-kawasan terlibat sejak 2 Ogos yang lalu dan sebanyak 350,000 liter air minuman diedarkan kepada penduduk sekitar yang terjejas dengan krisis air berkenaan.
“Sebanyak 12 pam air untuk kemudahan sukarelawan semasa edaran diberikan dan bukan itu sahaja, sebanyak lapan buah unit kenderan pacuan empat roda digunakan sebagai pasukan bergerak yang membantu penduduk kampung sepanjang terlibat dengan krisis air ini,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri akan mencari kaedah terbaik untuk mengatasi krisis ini di samping berusaha mengaktifkan segera Loji Bukit Berapit pada bulan hadapan berbanding jadual asal pada Mei 2022.
“Pengoperasian loji baharu itu mampu menyalurkan bekalan air sebanyak 60 juta meter padu sehari kepada 28,700 isi rumah yang terlibat,” ujarnya.
Sementara itu, menurut penduduk Kampung Raja Tepoh, Arif Azizan, 21, berkata dia dan keluarga boleh menarik nafas lega apabila pelbagai bantuan keperluan harian termasuk bekalan air bersih dihantar kepada mereka.

Arif Azizan, 21 mengharapkan krisis ini segera berakhir dan orang ramai boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
“Tindakan menempatkan bekalan air di Dewan Serbaguna Tepoh yang dijadikan sebagai pusat sehenti memudahkan penduduk mendapatkan bekalan.
“Malah penghantaran air dari rumah ke rumah dibuat secara berkala sememangnya memudahkan penduduk yang sedang menghadapi krisis air paling buruk ketika ini,” katanya mengakhiri perbualan.
Terdahuli, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dalam kenyataan media Isnin lalu memberitahu gangguan bekalan air tersebut bermula pada 2 Ogos lalu, apabila pihak SATU mengesan berlaku tekanan air rendah di jajaran paip ke Tangki Utama Berangan menyebabkan ia berada pada paras tidak normal.
-ii-