Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PEMULIH: Kerajaan Digesa Nilai dan Lapor Keberhasilan Bantuan

By 12 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan digesa melaksanakan penilaian dan laporan mengenai hasil atau keberkesanan bantuan yang disediakan seperti MYFutureJobs, menurut pakar dari Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF).

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan INCEIF, Prof Madya Baharom Abdul Hamid berkata laporan penilaian itu adalah penting memandangkan ia akan memastikan kepuasan rakyat bahawa kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada sumber yang tepat.

Beliau berkata Malaysia sememangnya bagus dari segi pemberian bantuan namun yang perlu dititikberatkan bagaimana kerajaan menilai keberhasilan pemberian bantuan.

“Seperti MYFutureJobs, ia sepatutnya dinilai dari segi berapa ramai yang telah dibantu, berapa ramai yang akan meraih pertambahan pendapatan, berapa ramai yang memperoleh manfaatnya dan ia perlu dilaporkan supaya kita boleh tahu RM500 juta yang kita salurkan ini kini diberikan sebagai pulangan RM750 juta atau RM1 bilion.

“Penilaian itu tiada, jadi saya menggesa kerajaan supaya melaksanakan penilaian dan melaporkan keberhasilannya supaya rakyat berpuas hati bahawa kerajaan sememangnya telah menyalurkan kepada sumber yang tepat,” katanya dalam program ‘Mid-Day Update’ yang disiarkan Bernama TV pada Rabu.

Bagaimanapun, Baharom memuji inisiatif Pakej Pelindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Apa yang menarik ialah bersama-sama dengan Perkeso, Program Subsidi Upah di bawah PEMULIH membantu usahawan, syarikat, industri dan juga pekerja mendapatkan pendapatan normal, bukan sekadar 50 peratus pendapatan, katanya.

“Kedua, program MYFutureJobs membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan yang memerlukan pekerjaan baharu dengan industri semakin dibuka dan memerlukan pekerja tambahan.

“Ini akan menjadi sesuatu yang akan dilihat dalam mempercepat kembali pertumbuhan ekonomi dan memperkasa pemulihan negara dalam jangka terdekat,” katanya.

Selain itu, Baharom yakin subsidi upah dan MYFutureJobs akan berhasil memandangkan kedua-duanya juga memberi insentif khususnya kepada penuntut dan lepasan pengajian tinggi untuk giat mencari pekerjaan serta majikan yang mengiklan dan mencari kemahiran khusus yang mereka perlukan.

Sementara itu, Penganalisis Pengurusan Krisis, Peter Nicoll berkata kelonggaran yang diberikan kepada individu yang telah lengkap disuntik dua dos vaksin merupakan satu langkah positif ke arah pemulihan namun tidak akan banyak mengubah dinamik sekatan pergerakan secara keseluruhannya.

“Dari segi pengurusan krisis, Pelan Pemulihan Negara jelas berfungsi memandangkan negeri-negeri bergerak melalui fasa-fasa yang berkait langsung dengan kriteria yang telah ditetapkan agar perubahan tersebut dapat dilaksanakan.

“Sudah tentu, terdapat banyak pandangan di luar sana yang mengatakan langkah ini tidak mencukupi, tetapi realitinya ia dilihat akan menjadi strategi yang betul pada masa ini, kerana pelan ini merupakan pendekatan berhati-hati dan pada masa sama ia adalah langkah ke hadapan yang positif,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda