Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Peningkatan Kadar Vaksinasi Dijangka Mampu Sokong Permintaan Pengguna untuk Emas di Malaysia

By 4 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Permintaan pengguna terhadap emas dalam negara pada separuh kedua tahun ini dijangka disokong oleh peningkatan ketara pemberian kadar vaksinasi COVID-19, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif serantau Majlis Emas Dunia (WGC) APAC, Andrew Naylor.

“Sekiranya pemberian vaksinasi (COVID-19) terus meningkat, kita mungkin menyaksikan pemulihan ekonomi yang menyokong permintaan pengguna untuk emas bagi baki tahun, dan dari sudut pelaburan institusi, jangkaan inflasi akan mendorong minat institusi untuk emas,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Berdasarkan angka suku tahunan terbaru oleh WGC, pasaran emas negara dilihat pulih pada suku kedua 2021, dengan permintaan barang kemas meningkat 26 peratus tahun ke tahun sementara jongkong dan syiling melonjak 92 peratus tahun ke tahun.

Malaysia telah memberikan sejumlah 20,533,660 dos vaksinasi COVID-19 sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Februari.

Jumlah itu meliputi 13,816,971 untuk suntikan pertama, sementara 6,716,689 telah menerima dos kedua, sekali gus melengkapkan vaksinasi masing-masing.

Menurut Naylor, faktor utama yang mendorong permintaan emas adalah pemulihan ekonomi, yang menyokong permintaan pengguna dan teknologi dengan sekitar tujuh peratus permintaan untuk emas adalah dari sektor teknologi.

“Walaupun berlakunya aliran keluar pada akhir tahun 2020 dan pada suku pertama tahun ini, minat daripada pelabur institusi telah meningkat dan kami melihat aliran masuk bersih ke dana dagangan bursa pertukaran (ETF) yang disokong emas pada suku kedua,” katanya sambil menambah ini sebahagian besarnya didorong oleh jangkaan inflasi dalam jangka sederhana dan jangka panjang.

Mengulas lanjut, beliau berkata emas adalah pelaburan strategik atas beberapa sebab dengan lebih US$175 bilion (US$1 = RM4.22) diniagakan setiap hari, menunjukkan ia adalah sumber pulangan dan pengubah yang amat berkesan.

“Sifat emas yang unik bermaksud ia berbeza berbanding kelas aset lain dan dapat digunakan sebagai pengubah,” katanya.

Menurut Naylor, ramai pengguna akan mengambil kesempatan di atas harga emas yang rendah, terutama dalam beberapa bulan pertama tahun ini, dan meskipun kes COVID-19 semakin meningkat, Malaysia masih dijangka pulih tahun ini.

“Kesan kawalan pergerakan di Malaysia dikurangkan oleh sifat ekonomi Malaysia yang semakin digital dengan beberapa produk emas digital pertama dilancarkan di Malaysia,” katanya.

Malaysia telah menjadi pelopor atau perintis dalam ruang emas digital, tambah beliau.

“Beberapa produk emas digital pertama di dunia dilancarkan di Malaysia, yang membolehkan pengguna membeli dan menjual emas fizikal dalam talian atau melalui aplikasi, tanpa perlu mengunjungi kedai,” kata Naylor.

Walaupun pandemik telah menyebabkan ketidaktentuan ekonomi yang amat ketara, ahli ekonomi mengunjurkan ekonomi akan pulih ke tahap sebelum pandemik dengan cepat sekiranya kadar pemberian vaksin meningkat.

“Ini akan menyokong permintaan pengguna khususnya. Kerajaan perlu menggunakan sejumlah besar dana kecemasan dan ini mungkin memberi kesan kepada inflasi dalam tempoh sederhana,” katanya.

Justeru, ini mungkin dapat menyokong permintaan pelaburan institusi untuk emas,” jelas Naylor.

Selain itu, beliau menambah emas adalah pelaburan selamat yang menjadi salah satu sebab untuk ia menjadi kelas aset terbaik pada tahun 2020.

Di peringkat global, laporan Trend Permintaan Emas terkini oleh WGC menyatakan pemulihan ekonomi global yang berterusan harus menyokong permintaan pengguna untuk perhiasan emas global sepanjang tahun 2021, walaupun terdapatnya ‘’gangguan’’ COVID-19 di beberapa pasaran, termasuk India yang akan mencetuskan halangan.

“Bank-bank pusat juga mungkin terus membeli emas secara bersih pada tahun 2021 pada kadar yang sama atau lebih tinggi berbanding tahun 2020, didorong oleh fokus berterusan terhadap kepelbagaian dan pengurusan risiko,” tambah laporan itu.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda