
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Tengku Saipullah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Para petugas barisan hadapan terus bersemangat menyambut Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang meskipun ketika ini negara masih bergelut mengharungi ujian pandemik COVID-19.
Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu Ridzuan Hashim, penganjuran kempen kibarkan Jalur Gemilang ini bersesuaian dengan keadaan semasa.

Ridzuan (tengah) berharap para petugas sentiasa bersemangat dalam usaha memerdekakan negara daripada pandemik COVID-19.
“Penganjuran kempen kibarkan Jalur Gemilang ini sedikit sebanyak telah meniupkan semangat kepada petugas barisan hadapan dan orang ramai untuk mengingati sambutan hari kemerdekaan negara dalam suasana sederhana kerana negara masih berada dalam fasa pemulihan COVID-19.
“Kita sangat menghargai usaha keras petugas-petugas barisan hadapan yang bertugas lebih masa hampir setiap hari dan dalam masa yang sama berusaha untuk memerdekakan negara daripada pandemik yang melanda negara ketika ini,” katanya ketika menyantuni petugas hadapan di Klinik Kesihatan Manir, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, menurut jururawat bertugas Suhayatina Harun, beliau yang telah bertugas lebih daripada 13 tahun berharap pandemik COVID-19 ini segera berakhir dan rakyat boleh terus hidup seperti biasa.

Semangat kibarkan Jalur Gemilang oleh petugas-petugas barisan hadapan sentiasa membara meskipun negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.
“Sempena sambutan bulan kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang ini, saya dan para petugas kesihatan berharap kami semua dapat membebaskan negara daripada pandemik ini dan seterusnya orang ramai boleh hidup normal tanpa ada rasa takut dijangkiti COVID-19.
“Petugas barisan hadapan dan orang ramai juga perlu terus bersatu menerusi semangat ‘Keluarga Malaysia’ dan moto ‘Kita Jaga Kita’ bagi mengharungi ujian pandemik yang telah berlarutan hampir dua tahun ini,” katanya.
Di samping itu, Nur Atiqah Husni, yang merupakan jururawat di Unit Ibu dan Bayi berkata perjuangan petugas hadapan dalam memastikan orang ramai mendapat perkhidmatan terbaik sepanjang mengharungi pandemik ketika ini merupakan perjuangan yang memerlukan semangat kental.

Nur Atiqah berharap pandemik ini segara berakhir dan rakyat boleh menikmati hidup seperti sediakala.
“Oleh itu, rakyat Malaysia perlulah sentiasa menghargai komitmen dan pengorbanan semua petugas kesihatan dalam membendung penularan wabak COVID-19, kerana pada akhirnya kita ingin menang bersama,” katanya.