
Laporan/foto: Noorhayati Ab Aziz/Azaherul Ahmad (Kampar)
CHANGKAT TIN, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) terus diperluas dengan memfokuskan penduduk di kawasan pedalaman.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Datuk Nolee Asyilin Mohammed Radzi, berkata program ini adalah anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perpaduan Negara, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah serta penglibatan bersama beberapa agensi kerajaan.
“Seramai 1200 penerima akan menerima suntikan dos pertama vaksin pada program ini dan pemilihan senarai nama dibuat melalui Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Pejabat Penghulu,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dataran Rakyat Kampung Changkat Tin, di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Kinta Dr. Norlaila Md Shahari, berkata program yang akan berlangsung selama dua hari ini melibatkan mereka yang berumur antara 18 tahun hingga 91 tahun terdiri daripada penduduk setempat dengan pelbagai latar belakang.
“Setakat ini program berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk,” katanya.
Penerima vaksin, Rohana Yusof, 46, menyambut baik usaha kerajaan dalam membantu memudahkan urusan vaksinasi kepada rakyat.

Rohana Yusof, 46 bersama dua orang anak antara penduduk yang telah menerima suntikan pertama hari ini.
“Ini adalah langkah yang baik oleh kerajaan dalam memberi kemudahan terutama kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya yang hadir bersama dua orang anak dan menjadi antara penduduk yang telah menerima suntikan pertama tadi.
Difahamkam program hari ini merupakan yang keenam daripada keselurahan 11 program dirancang yang melibatkan kawasan pedalaman di sekitar negeri Perak.
~RJ~