Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Program ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’ Semarakkan Hari Kebangsaan

By 23 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Klang)

KLANG, 23 Ogos (Malaysiaaktif) – Suasana dilanda pandemik COVID-19 tidak menghalang Persatuan Penduduk Taman Kembara 22F, di sini untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara melalui aktiviti menghias Jalur Gemilang di kawasan kediaman mereka.

Pengerusinya Khairul Anuar Amin, berkata pihaknya mengambil inisiatif melaksanakan program ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’ bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Kami membelanjakan RM600 daripada hasil kutipan warga taman untuk membeli Jalur Gemilang dan keperluan lain sebelum diagihkan kepada setiap rumah.

Salah seorang penduduk Taman Kembara 22F sedang memasang Jalur Gemilang di sekitar kediamannya.

Salah seorang penduduk Taman Kembara 22F sedang memasang Jalur Gemilang di sekitar kediamannya.

“Ini merupakan program julung kali diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotik agar sentiasa mekar di hati walaupun negara masih di dalam dilanda pandemik.

“Persatuan penduduk berhasrat agar setiap rumah dapat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara,” katanya ketika ditemui di kawasan kediaman tersebut, di sini semalam.

Katanya, beliau amat terharu dengan kesungguhan ahli jawatankuasa persatuan dan penduduk berganding bahu menceriakan taman perumahan tersebut walaupun terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Warga Taman Kembara 22F bersemangat memasang Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Warga Taman Kembara 22F bersemangat memasang Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Zakaria Abdullah, 45, berkata program seumpama ini semakin berkurang sejak kebelakangan ini dan berharap ianya akan diteruskan supaya budaya cintakan negara tidak luntur ditelan zaman.

“Walaupun dalam keadaan kita sedang menghadapi COVID-19, semangat cintakan negara perlu sentiasa mekar dalam diri terutama ketika negara sedang berusaha menangani pandemik ini.

“Sempena dengan Hari Kebangsaan 2021 ini, marilah kita bertekad untuk mematuhi segala SOP yang ditetapkan kerajaan supaya kita bebas daripada COVID-19,” katanya dengan bersemangat.

-RI

Tinggalkan komen anda