
Laporan/foto: Siti Noor Ain Mohd Zain/Noor A’mirah Daman Huri (Kerian)
TITI SERONG, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Pemimpin kawasan Titi Serong bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kerian bagi sama-sama turun padang dalam menganjurkan Program Vaksin COVID-19 Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong kepada penduduk sekitar kawasan terlibat.
Ahli DUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, berkata program ini menjadi inisiatif untuk membantu masyarakat setempat dalam mencapai 80 peratus imuniti kelompok.
“Sebanyak 700 vaksin disediakan oleh PKD Kerian bagi tujuan program ini dan sebarang penambahan bergantung kepada bekalan vaksin yang disediakan dengan penerima terdiri daripada penduduk sekitar Tanjung Piandang dan Bagan Tiang serta penduduk di sekitar Titi Serong.
“Keutamaan diberikan kepada golongan berumur 25 tahun ke atas dan bagi mereka yang berumur 25 tahun ke bawah merupakan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS),” katanya ketika ditemu ramah di Masjid At Taqwa Sungai Megat Aris, di sini pagi tadi.
Tambah Hasnul, program ini merupakan peluang kepadanya untuk membantu golongan warga emas, para nelayan dan pelajar IPT yang sudah lama mendaftar untuk menerima vaksin memandangkan kerajaan telah memberi beberapa kelonggaran kepada individu yang lengkap divaksinasi.
“Sebagai pemimpin kawasan, saya sentiasa cakna dan membantu masyarakat setempat yang belum menerima vaksin.
“Kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan RELA serta sukarelawan yang memberi komitmen bagi menjayakan program ini merupakan satu kejayaan besar bagi membantu penduduk sekitar ini dan seharusnya diteruskan dengan penambah baikan dari segi kemudahan fasiliti dan pengurusan yang lebih sistematik,” ujarnya.
~RJ~