Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Saham PDB, PGB Alami Prestasi Berbeza Selepas Umum Prestasi Kewangan Suku Kedua

By 25 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Saham Petronas Dagangan Bhd (PDB) mencatatkan kenaikan ketara semasa awal dagangan pada Selasa namun, Petronas Gas Bhd (PGB) terus mengalami tekanan.

Pada 10.25 pagi, saham PDB meningkat 24 sen kepada RM19.04 dengan 15,400 unit diniagakan manakala PGB susut empat sen kepada RM15.96 dengan 77,800 unit bertukar tangan.

Pada Isnin, cabang runcit bagi syarikat minyak negara Petronas, PDB mengumumkan keuntungan bersihnya melonjak kepada RM82.14 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2021 daripada RM3.15 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun kewangan 2020, dipacu oleh kenaikan harga minyak dan jumlah dagangan yang meningkat.

Perolehan meningkat kepada RM5.14 bilion daripada RM2.93 bilion bagi tempoh yang sama manakala pendapatan asas sesaham naik kepada 8.30 sen daripada 0.40 sen.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Azrul Osman Rani berkata perniagaan PDB bertambah baik secara beransur-ansur dari tahun lepas namun kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan semasa di samping meneruskan langkah berhemat dan mengoptimumkan sumber.

Bagaimanapun, keuntungan bersih PGB susut kepada RM439.07 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2021 daripada RM547.10 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2020.

Perolehan berkurangan kepada RM1.38 bilion daripada RM1.40 bilion bagi tempoh yang sama, terutama disebabkan perolehan berkurangan yang dicatatkan segmen utiliti sejajar dengan harga produk yang lebih rendah dalam situasi jumlah jualan lebih tinggi.

Melangkah maju, kumpulan itu menjelaskan prestasi pada 2021 dijangkakan kekal berdaya tahan meskipun pandemik masih berlarutan, disokong oleh model perniagaan dan kontrak jangka panjang yang memastikan aliran perolehan yang stabil, terutama oleh segmen perniagaan pemprosesan gas, pengangkutan gas, dan regasifikasi.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda