
Laporan/foto: Masitah Mat Zin (Seremban) / Khairul Nizam bin Mat Yunus (Fotografi)
SEREMBAN, 12 Ogos (Malaysiaaktif)– Walaupun pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tidak dapat diadakan seperti tahun-tahun sebelum ini kerana ancaman pandemik COVID-19, kehangatan dan momentum sambutannya masih dirasai setiap lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Pelancaran Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Seremban Tahun 2021 berlangsung secara sederhana dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Sambutan tidak melibatkan orang ramai dan penglibatan dua orang anggota dari dalam kenderaan sahaja bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik COVID-19 dipatuhi.
Menurut Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus, objektif kempen Kibar Jalur Gemilang adalah untuk menaikkan semangat patriotisme serta sayangkan negara dikalangan warganya dan rakyat Malaysia tahu bendera Jalur Gemilang adalah lambang kebanggaan negara kerana Jalur Gemilang merupakan simbol identiti yang menjunjung kedaulatan negara.
“Hormati dan sayangilah Jalur Gemilang kerana ia bukan hanya selembar kain yang berkibar tetapi ia merupakan bendera yang menjadi titik persamaan kita sebagai Rakyat Malaysia dalam mempamerkan nilai-nilai perpaduan dan amalan prinsip Rukun Negara,” katanya selepas Program Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Seremban Tahun 2021, di sini semalam.
Menurut peserta konvoi, Ahmad Komeini Kamarudzaman, melalui program pada hari ini ia amat bersesuaian untuk memupuk kesedaran orang ramai mengenai semangat patriotisme dan cintakan negara.
“Mengibarkan Jalur Gemilang dan memasangnya perlu mengikut tertib yang betul dan kempen Kibar Jalur Gemilang pada setiap tahun harus diteruskan tanpa lelah bagi menunjukkan taat setia dan bukti kecintaan terhadap tanah air kita.
“Terima kasih kepada Jabatan Penerangan Malaysia di atas usaha berterusan memberi saranan mengibarkan Jalur Gemilang dan ini harus dipuji kerana setiap tahun apabila tiba bulan Ogos banyak aktiviti dan program-program menyemarak serta menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan dibawakan kepada masyarakat oleh Jabatan ini,” ujarnya.
Hadir sama Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Tuan Haji Shahnon bin Mohamad. Program pelepasan konvoi telah diadakan di Perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.
-FF