
Laporan/foto: Norazura Abdul Latif/Siti Nor Syahirah Mohd Hashim (Petaling)
SERI SERDANG, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Serdang, Pusat Darah Negara dan Pejabat Penerangan Daerah Petaling menganjurkan Kempen Derma Darah bagi menampung kekurangan bekalan darah.
Menurut Pengerusi KRT Taman Seri Serdang Amiludin Selamat, kekurangan stok darah di Pusat Darah Negara menjadi asbab program ini dilaksanakan di samping menyemarakkan lagi semangat patriotik bagi menyambut Hari Kebangsaan pada hari ini.
“Program ini merupakan penganjuran kali kedua oleh KRT Taman Seri Serdang.
“Ketika membuat pendaftaran awal, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ini menguatkan lagi semangat kami untuk meneruskan kempen derma darah ini,” katanya ketika ditemui pada kempen tersebut di Pusat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seri Serdang, di sini hari ini.
Tambah beliau, program ini dianjurkan untuk menggalakkan golongan belia di sekitar taman ini untuk tampil menderma darah bagi membantu kekurangan bekalan darah di Pusat Darah Negara.
“Dalam keadaan negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan amat dititikberatkan.
“Penganjuran program ini telah pun mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor,” ujarnya.

Persepsi takut jarum perlu diubah, kerana mentaliti sebegini akan menyebabkan makin ramai masyarakat enggan menderma darah – Khalid Lambak.
Seorang penduduk Taman Seri Serdang, Khalid Lambak, 60, yang ditemui berkata pelaksanaan program ini tidak seharusnya dipandang remeh.
“Sebagai penderma darah tegar, saya menyarankan agar masyarakat terutama golongan muda untuk tampil menderma darah bagi mambantu pesakit yang memerlukan terutama dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih belum reda ini.
“Persepsi takut jarum perlu diubah, kerana mentaliti sebegini akan menyebabkan makin ramai masyarakat enggan menderma darah,” katanya.
-RI