Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

SIRIM STS, UTM Meterai MOU Bentuk Kerjasama Tingkatkan Pembangunan Modal Insan

By 23 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: SIRIM

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Malaysiaaktif) – Anak syarikat milik penuh SIRIM Bhd, SIRIM STS Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam usaha meningkatkan pembangunan modal insan.

Dalam satu kenyataan hari ini, SIRIM berkata melalui persefahaman itu, kedua-dua pihak akan membangunkan modul latihan untuk program profesional yang diperakui, bekerjasama dalam bidang penyelidikan terpilih, selain mengadakan program pertukaran dan pembangunan kakitangan.

Menerusi kerjasama itu, SIRIM STS akan memperkenalkan program SIRIM Certified Quality Professional (CQP) kepada pelajar Sarjana Sains Kejuruteraan Perindustrian (MScIE) di UTM, yang menjadikan UTM sebagai universiti awam pertama yang menawarkan CQP kepada pelajar program sarjananya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Bhd Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berharap program itu dapat membangunkan kepakaran tempatan bagi memenuhi permintaan industri.

Beliau menambah kerjasama UTM-SIRIM STS dapat menyokong usaha melahirkan siswazah yang mempunyai nilai tambah sebagai profesional diperakui seterusnya membantu pertumbuhan nasional modal insan industri tempatan agar lebih kompetitif dan berdaya saing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM STS, Raja Yahya Raja Ariffin berkata program CQP secara bersemuka dijangka dilaksanakan pada Oktober, dan program secara maya telah bermula sejak Mac 2020.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda