Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Syarikat Telekomunikasi, Penyiaran Tambah Nilai Pakej Sempena Hari Kebangsaan

By 18 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Pihak industri telekomunikasi dan penyiaran menyediakan beberapa tambah nilai pakej untuk kemudahan rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tawaran itu meliputi Pakej Peranti RM1 Malaysia Prihatin bagi membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf pelbagai peranti mudah alih yang menyokong 4G dan VoLTE bermula dari harga RM1 yang disokong oleh Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile and YTL, katanya.

Selain itu, pemberian data harian sebanyak 1GB oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia secara percuma kepada semua pengguna perkhidmatan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini.

“Inisiatif Learn From Home (LFH) oleh pihak YTL dalam menyokong sistem pendidikan juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021,” kata SKMM dalam satu kenyataan hari ini.

SKMM berkata pakej Jaringan Prihatin juga dilanjutkan sehingga 30 September ini untuk golongan B40.

Suruhanjaya itu berkata tawaran tersebut turut meliputi akses tontonan percuma beberapa saluran premium terpilih oleh syarikat penyiar swasta seperti Astro dan Unifi kepada pelanggan mereka.

Menurutnya, Astro menyediakan saluran percuma iaitu Astro 25 di saluran 100 yang akan menyajikan kandungan tempatan berkisar kepada pengorbanan, semangat patriotik serta kejayaan yang telah Malaysia kecapi.

“Pakej yang ditawarkan ini dijangka memberi kemudahan dan manfaat kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, dan pekerjaan di samping meringankan beban perbelanjaan para pengguna,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda