
Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Johny George Kimlon (Kota Kinabalu)
PAPAR, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Ahli Parlimen Kimanis Mohamad Alamin, menyeru penduduk tempatan khususnya untuk tetap mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing meskipun masih berdepan dengan pandemik COVID-19 sempena bermulanya sambutan Bulan Kebangsaan yang disambut sepanjang Ogos dan September ini.
“Walaupun tiada sambutan secara besar-besaran seperti kebiasaannya, kita menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sekurang-kurangnya di rumah masing-masing.
“Kibaran ini diharap dapat mengukuhkan lagi semangat patriotisme terhadap negara dan negeri dalam kalangan rakyat.
“Bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, kecintaan terhadap negara ini perlu dizahirkan dengan cara membantu kerajaan menjayakan agenda kerajaan seperti Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan,” katanya ketika bercakap kepada media selepas menyempurnakan simbolik Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Papar di Kampung (Kg) Ulu Kimanis Batu 14, di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan Parlimen Kimanis menyasarkan kadar vaksinasi 35 peratus sehingga hujung Ogos ini.
“Sasaran itu melibatkan jumlah penduduk bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan Membakut.
“Anggaran vaksinasi setakat ini, amat rendah sekitar iaitu 20 peratus bagi kawasan Parlimen Kimanis, oleh itu kita menggesa agar program ini diperbanyakkan lagi terutama di kawasan-kawasan penempatan yang jauh, namun kita yakin akan mencapai sasaran 35 peratus vaksinasi sehingga akhir Ogos ini bagi kedua-dua DUN,” dedah beliau.
Menurut Mohamad, program khidmat bantuan vaksinasi yang dilaksanakan ketika ini merupakan alternatif untuk memberi peluang dan memudahkan rakyat dalam mendapatkan vaksin COVID-19.
“Oleh kerana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) agak jauh, jadi jika kita minta mereka datang, ia akan sedikit menyusahkan mereka.
“Justeru itu, kita permudahkan supaya mereka boleh datang dengan cepat dan ini akan mempercepatkan proses vaksinasi rakyat dan usaha ke arah mencapai imuniti kelompok akan dapat direalisasikan,” ujarnya.
-RI