
Laporan/foto: Kalaimani Munian(Kampar)/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi(Ipoh)
KAMPAR, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Sambutan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Kampar diraikan secara sederhana namun meriah dalam suasana norma baharu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standarad (SOP) yang ketat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata program ini dilaksanakan menepati situasi semasa apabila kita perlu akur dengan keadaan negara yang masih bergelut dengan pandemik COVID-19 hingga membataskan segala pergerakan.
“Walau bagaimanapun, usaha ini merupakan satu permulaan yang baik bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan di daerah Kampar,” katanya ketika ditemu ramah oleh media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), di sini hari ini.
Nolee menyempurnakan acara mengedar dan melekat Jalur Gemilang kepada 30 buah kenderaan terdiri daripada agensi kerajaan dan kenderaan awam.

Nolee hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Kampar.
“Saya dimaklumkan kenderaan-kenderaan ini akan berkonvoi mengelilingi Pekan Kampar sambil mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda bermulanya Sambutan Bulan Kemerdekaan.
“Hiasan Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing bukan sahaja melambangkan perasaan cintakan negara tetapi menonjolkan semangat kemerdekaan dan perpaduan.
“Semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan rakyat adalah perlu kerana tanpanya kita mudah berpecah belah dan mudah lupa perjuangan yg telah dilalui bagi mencapai kemerdekaan dan saya ingin menyeru agar rakyat Malaysia terus bersatu dan bersifat patriotisme terhadap negara tercinta,” katanya.
Ketika diajukan soalan tentang kadar peratus suntikan vaksin di Kampar, Nolee berkata hampir 64 peratus vaksinasi dos pertama dan 35 peratus vaksinasi dos kedua telah lengkap diberikan kepada penduduk Kampar.
“Saya berasa bersyukur dan melihat ini satu pencapaian terbaik dan tahniah diucapkan kepada Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Daerah Kampar dan agensi kerajaan yang terlibat dalam memastikan usaha ini tercapai dan kewujudan dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah Kampar telah meningkatkan kadar vaksinasi yang mana PPV Gopeng memberi suntikan kepada 400 penerima dan 1200 di UTAR, setiap hari.
“Bagi premis-premis perniagaan, pemilik premis disarankan memastikan kakitangan divaksinasi sebelum membenarkan pelanggan ‘dine in’ sebagai langkah keselamatan kepada semua pihak bahkan peniaga-peniaga kecil di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan digalakkan untuk mengambil suntikan vaksinasi,” ujarnya.
~RJ~