
Laporan/foto: Mohd Hafizul Adzhari (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Pesara kerajaan sanggup melaburkan sebahagian wangnya sendiri demi memeriahkan halaman rumah yang dikelilingi Jalur Gemilang sebanyak 200 helai bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.
Md Kassim Md Yassin, 75, berkata selepas pencen sebagai penjawat awam 23 tahun yang lalu, beliau tidak pernah melepaskan peluang setiap tahun untuk menghiasi kediaman dengan Jalur Gemilang.
“Saya sudah berazam dan tekad untuk menghiasi rumah saya ini dengan dipenuhi dengan Jalur Gemilang, saya anak Melaka, saya anak Malaysia, saya tetap akan lakukan apa sahaja untuk memeriahkan halaman rumah saya ini dengan bendera Malaysia,” katanya dengan penuh semangat ketika ditemukan di kediamannya di Kuala Sungai Baru, di sini semalam.
Kediaman beliau juga pernah memenangi tempat kedua dalam satu pertandingan yang dianjurkan diperingkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi pada tahun 2008.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan@Abd Rashid, semangat ini yang kita mahukan, walaupun sudah berusia beliau tetap bersemangat menghiaskan rumah beliau dengan Jalur Gemilang.
“Saya berharap masyarakat mencontohi Pak Kassim dengan mengibarkan Jalur Gemilang dimana sahaja kita berada, sebagai tanda cinta pada negara,” ujar Salina.
-FF