
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/YIDE
SHAH ALAM, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyerahkan 3,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk pengurusan jenazah COVID-19.
Pengurus Besar YIDE Nur Mohd Razali Abdullah, berkata sumbangan tersebut merupakan kali kedua diserahkan pihaknya kepada JAIS dengan nilai keseluruhan berjumlah RM104,640.
“Sumbangan seperti pakaian PPE, pelindung muka, pelitup muka N95, sarung tangan getah dan apron ini merupakan kerja-kerja kebajikan YIDE bersama dengan JAIS dalam membantu menyediakan kelengkapan petugas-petugas yang menguruskan jenazah pesakit COVID-19.
“YIDE mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dibawah seliaan JAIS yang telah menyempurnakan amanah ini dengan sebaik mungkin walaupun terdapat terdapat tohmahan pihak tertentu.
“Namun, para petugas pengendali jenazah tetap melaksanakan demi menunaikan tuntutan fardu kifayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nur Mohd Razali berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyalurkan sumbangan kepada YIDE bagi membantu golongan sasar yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Alhamdulillah, kami dapat menyantuni mereka yang terkesan dan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang telah menyalurkan sumbangan melalui Tabung Dana Musibah YIDE untuk diserahkan kepada golongan yang memerlukan.
“YIDE mengalukan orang ramai untuk menyumbangkan menerusi platform digital YIDE di pautan https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau terus pindahan dalam talian melalui Bank Islam YIDE bernombor : 1223 40100 07330,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) JAIS Salwana Ahmad Dahlan, mengucapkan terima kasih atas kecaknaan pihak YIDE menyalurkan sumbangan segera seumpama ini.
“Pihak JAIS akan mengagihkan set PPE tersebut kepada setiap daerah di Selangor untuk digunakan bagi tujuan pengurusan jenazah COVID-19,” katanya.
-RI