Skip to main content
MA

Ziarah Kasih Merdeka@Komuniti Kuala Pilah Wadah Pembina Ukhwah

By 31 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shaharuddin Daud/Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah bersama-sama Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Pilah serta badan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction yang diwakili oleh Al-Baasith Negeri Sembilan menyantuni golongan terkesan dengan pandemik COVID-19 ini di Mukim Senaling.

Menurut Pegawai Daerah Kuala Pilah Mohd Faizal Abdul Manap, kerjasama ini turut mewujudkan ukhwah antara tiga agensi pentadbiran iaitu agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat itu sendiri dalam membantu mereka yang mengalami kesukaran kehidupan kesan daripada pandemik COVID-19 ini.

“Program ini turut membantu pihak Pejabat Daerah dalam mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai keadaan terkini mukim Senaling terutamanya mengenai kemajuan program-program yang dijalankan selain mengenal pasti bantuan yang bersesuaian untuk kebajikan penerima.

“Tujuan program ini adalah untuk menyantuni golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU), ibu dan bapa tunggal kerana mereka memerlukan perhatian khusus dalam suasana Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang sedang berlangsung sekarang dan mukim Senaling merupakan kawasan pertama yang disantuni,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Merdeka Daerah Kuala Pilah, semalam.

Sesi bergambar bersama penerima bantuan dan penyerahan bendera Jalur Gemilang.

Sesi bergambar bersama penerima bantuan dan penyerahan bendera Jalur Gemilang.

Tambah beliau, melalui ziarah yang diadakan, mereka boleh melihat sendiri keadaan masyarakat sambil beramah mesra serta merasai kesusahan yang dihadapinya dan di samping itu dapat membantu menyemarakkan tanda cinta kepada negara melalui pengibaran Jalur Gemilang.

“Selain itu, kami juga perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan supaya tidak berlakunya penularan wabak COVID-19 dan walaupun perlu dibuat dalam keadaan norma baharu, program itu tetap berjalan lancar dan sampai kepada golongan sasar yang memerlukan,” katanya lagi.

Terdahulu, MyFundAction dan Al-Baasith telah memilih Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan sebagai rakan strategik sebagai wadah untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dan sekaligus memperkasakan penyampaian maklumat Kerajaan kepada masyarakat melalui program kebajikan.

Program ini turut dihadiri Ketua Penolong Pegawai Daerah Ahmad Syafiq Amin dan, wakil MyFundAction Khairul Izhar.

-FF

Tinggalkan komen anda