
Foto: Infografik Covid Now
PUTRAJAYA, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak 19,550 kes baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh negara semalam, sedikit menurun berbanding 21,176 kes kelmarin.
Pertambahan itu bermakna jumlah kumulatif kes COVID-19 negara adalah 1,960,500 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Twitter dan Facebook memaklumkan Sarawak kekal merekodkan kes harian tertinggi untuk enam hari berturut-turut dengan 3,743 kes semalam.
Selangor pula mencatatkan kes harian kedua tertinggi iaitu 2,416 kes, diikuti Johor (2,282); Sabah (2,163); Pulau Pinang (1,865); Kedah (1,390); Perak (1,354); dan Kelantan (1,320).
Negeri-negeri yang merekodkan kes harian baharu di bawah empat angka adalah Terengganu (953); Pahang (722); Kuala Lumpur (555); Melaka (490); Negeri Sembilan (198); Perlis (73); Putrajaya (24); dan Labuan (dua).
— BERNAMA