Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

20,897 Kes Baharu

By 1 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Kes harian COVID-19 dalam negara meningkat semula ke paras 20,000 semalam apabila sebanyak 20,897 kes baharu dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kelmarin, kes harian menurun kepada 19,268 kes selepas merekodkan kes harian melebihi 20,000 kes selama enam hari sejak 24 Ogos dengan kes tertinggi 24,599 dicatat pada 26 Ogos.

Dr Noor Hisham menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi berkata jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini adalah sebanyak 1,746,254 kes.

“Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 4,371 kes diikuti Sabah (2,594), Sarawak (2,285), Johor (2,159), Kedah (1,942) dan Pulau Pinang (1,732).

“Sementara Kelantan mencatatkan 1,479 kes, Perak (1,204), Kuala Lumpur (1,003), Pahang (798), Terengganu (608), Melaka (417) dan Negeri Sembilan (215),” katanya.

Tiga negeri lagi mencatatkan kes bawah 100 iaitu Perlis (64), Putrajaya (25) dan Labuan (satu).

Dr Noor Hisham dalam kenyataan memaklumkan daripada 20,897 kes baharu itu, 422 atau 2.0 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala 20,475 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

Secara keseluruhan, 15,371 kes atau 73.6 peratus peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan itu tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Sementara iu, beliau berkata jumlah pesakit pulih ialah 18,465 orang menjadikan kumulatif kes sembuh adalah 1,461,727 manakala kes aktif kini 267,863.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa sejumlah 1,005 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 464 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau juga berkata 282 kematian baharu dilaporkan melibatkan 238 warganegara, 44 bukan warganegara dengan 98 kes adalah kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Mengulas 22 kluster baharu yang dikesan, Dr Noor Hisham berkata 11 daripadanya melibatkan tempat kerja, lapan kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster pusat tahanan.

Beliau berkata berdasarkan data terkini, nilai kebolehjangkitan COVID-19 atau R-Naught (Rt) Malaysia kelmarin adalah 1.02 dan negeri yang mencatatkan nilai tertinggi adalah Perlis dengan 1.22, diikuti Sarawak (1.19) dan Sabah (1.12).

Semua negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0 kecuali Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Negeri Sembilan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda