
Laporan/foto: Muhammad Izzat Abd Rahman (WPKL)
KUALA LUMPUR, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 34 orang penduduk di sekitar Wangsa Maju menerima sumbangan bakul makanan bagi meringankan beban mereka yang terjejas sumber pendapatan.
Penasihat Perbadanan Pengurusan Penduduk Seksyen 2 Wangsa Maju Ng How Doo, berkata agihan sumbangan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JaPen WPKLP) itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terkesan akibat COVID-19.
“Sumbangan bakul makanan yang disampaikan kepada golongan terkesan akibat COVID-19 di program ini sangatlah diperlukan dalam keadaan sekarang memandangkan ramai dalam kalangan penduduk setempat menghadapi kesulitan hidup.
“Antara mereka ada yang kehilangan punca pendapatan akibat tidak bekerja dan ada yang tidak berupaya untuk bekerja, malah sumbangan sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan bagi mereka mendapatkan barangan keperluan asas,” katanya ketika ditemui pada Program Sepakat@Komuniti Parlimen Wangsa Maju di Pekarangan Pejabat Perbadanan Pengurusan Penduduk Seksyen 2, di sini hari ini.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Pengarah JaPen WPKLP, Lim Ann Teck.
-ZS-