
Laporan/foto: Maherah Marina Mahusin/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu bersama beberapa jabatan dan agensi kerajaan telah mengadakan Jelajah Mesra Kempen Kibar Jalur Gemilang secara pandu lalu di pintu masuk Taman Tamadun Islam (TTI) yang merupakan salah satu lokasi Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) di daerah ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam turut menyampaikan Jalur Gemilang buat orang ramai yang hadir bagi tujuan vaksinasi di PPV TTI.
Pegawai Daerah Kuala Terengganu Ariffin Abdullah, berkata program sebegini perlu diteruskan untuk terus menyuntik semangat orang ramai menanam rasa cinta akan negara biarpun ia dilaksanakan secara sederhana bersesuaian dengan suasana negara ketika ini.
“Semangat patriotik perlu disemai kepada semua lapisan masyarakat Malaysia terutama kepada generasi muda kerana golongan ini yang akan mencorak masa hadapan negara,” katanya ketika ditemui di PPV tersebut, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengibarkan Jalur Gemilang dengan rela hati supaya dapat menjiwai semangat kemerdekaan seterusnya menyahut seruan kerajaan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh tertib, rasa bangga dan dengan penuh rasa hormat.
Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu Rusmiza Anuar, berkata Program Jelajah Mesra Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kuala Terengganu secara pandu lalu pada kali ini mengambil kira situasi semasa di kala Terengganu masih berada di fasa-2 Pelan Pemulihan Negara.
“Lokasi ini dipilih kerana mempunyai serampang dua mata kerana selain hebahan kempen kibar jalur gemilang dapat dilakukan, hebahan kepentingan vaksinasi juga diteruskan di kawasan sekitar,” katanya.