
Laporan/foto: Sharman Subramaniam (Kuala Selangor)/APM
KUALA SELANGOR, 24 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak 45 keluarga masih berada di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi sejak bencana banjir yang melanda daerah tersebut tempoh hari.
Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji, berkata keadaan semasa setakat jam 12.00 tengah hari semalam, kawasan terjejas belum surut sepenuhnya dan semua mangsa masih ditempatkan di PPS.
“Antara kawasan yang dilaporkan terjejas adalah Jalan Bahagia Kampung Parit Mahang, Kampung Tanjung Buah-Buahan dan Kampung Rangkaian Lubuk Jaya.
“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang dibuka pada Isnin membabitkan tujuh mangsa terdiri daripada empat keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS SK Parit Mahang, di sini kelmarin.
Menurut Mohd Faizal, PPS SK Pasangan dan SK Sultan Abdul Aziz Shah pula dibuka pada Selasa dengan jumlah mangsa seramai 75 orang daripada 28 keluarga.
“PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Belimbing pula dibuka semalam (Rabu) menempatkan 55 mangsa dari 13 keluarga,” katanya dalam dalam satu kenyataan kelmarin.
Beliau yang juga Pengerusi Bencana Daerah Kuala Selangor, berkata semua fasiliti PPS telah disanitasi oleh pihak bomba sebelum semua mangsa banjir yang terlibat dipindahkan.
“Kit Bencana Banjir juga telah diserahkan kepada semua mangsa yang terjejas dan kesemua mangsa banjir telah menjalani ujian saringan awal simptom COVID-19 serta pemeriksaan MySejahtera sebelum memasuki PPS.
“Agensi yang terlibat juga sentiasa memastikan mangsa dan petugas mengikut SOP yang berkuatkuasa dalam menguruskan bencana ini,” katanya.
-RI