
Laporan/foto: Abidin A. Ghani (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Sektor pelancongan negara yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang buruk kepada pekerja-pekerja rumah bot di Tasik Kenyir kerana ketiadaan pelancong memasuki tasik tersebut mengakibatkan rumah bot tersadai dan hilangnya sumber pendapatan kepada pengusaha dan pekerja.
Bagi membantu golongan ini, YADIEM melalui program FoodBank 3.0 telah menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asas kepada pekerja-pekerja rumah bot Tasik Kenyir yang telah disempurnakan penyampaiannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad.
“Selain bantuan kepada pekerja rumah bot Tasik Kenyir, bantuan turut disampaikan kepada Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua dan kepada pelajar serta pentadbir Madrasah Darul Ansar.
“Sumbangan ini melibatkan sebanyak 174 bakul makanan dengan perbelanjaan sebanyak RM17,400,” katanya ketika merasmikan program tersebut, baru-baru ini.
Bagi Pengerusi Rumah Rakit Tasik Kenyir Kamaruddin Razali, sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesan kehilangan pendapatan akibat ketiadaan pelancong yang menggunakan khidmat rumah botTasik Kenyir sepanjang Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
-ii-