Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Dahulu Makan Gaji, Kini Pengusaha Kuih Pau

By 19 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marina Hila Idris (Klang)

KLANG, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19 bukan penghalang kepada Cheng Chiew Voon, 47, mengusahakan jualan kuih pau dari rumah untuk menampung perbelanjaan diri dan ibunya yang uzur.

Cheng Chiew Voon telah hilang pekerjaan sebagai agen hartanah di sebuah syarikat swasta dan memilih untuk tinggal bersama dan menguruskan ibunya yang uzur.

“Keadaan ibu yang sudah tua membuatkan saya tekad dan kuat usaha mencari pendapatan untuk kelangsungan hidup kami.

“Saya rasa menjual kuih pau lebih mudah kerana tidak banyak peralatan yang diperlukan.

“Syukur saya ada kemahiran menjual dan mula membuat jualan kuih pau secara kecil-kecilan dari rumah kepada jiran-jiran dan kenalan sejak Perintah Kawalan Pergerakan awal tahun ini.

“Rakan-rakan juga banyak membantu menyuruh saya berdaftar dengan perkhidmatan e-hailing yang membolehkan hasil jualan saya diedar kepada lebih ramai orang,” jelasnya yang ditemui semasa menerima Kotak Rezeki Program Sepakat@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Klang di Kampung Telok Gadong, di sini semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada JaPen Daerah Klang yang datang menyantuni golongan memerlukan di kawasan ini walaupun dalam keadaan cuaca hujan.

Sementara itu, Ketua Kampung Telok Gadong Husin Nuruddin, berkata tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini ‘Malaysia Prihatin’ jika diamati dengan betul maka tiada golongan yang akan terpinggir.

“Kita harus ketepikan perbezaan fahaman politik, bantuan dan perkhidmatan terbaik harus sampai kepada semua golongan masyarakat kerana ramai yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Usaha JaPen Daerah Klang ini harus dipuji kerana selain menyerahkan bantuan, petugas juga menyalurkan maklumat dan memberi penerangan mengenai vaksin COVID-19 kepada masyarakat,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda