Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahMA

[KEMAS KINI] Gathering Of Geoparkians – Industri Pelancongan Langkawi Kembali Rancak

By 28 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin/Muhd Azrin Mubin Halim (Langkawi)

LANGKAWI, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melalui Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) mengadakan program ‘Gathering of Geoparkians’ sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan Pulau Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata objektif utama penganjuran adalah bagi membolehkan penjalinan rangkaian hubungan yang bukan sahaja memanfaatkan LUGGp malah juga semua yang terlibat.

“Program ini melibatkan kira–kira 200 orang peserta terdiri daripada ahli taman geologi, rakan kongsi, pemain industri, wakil agensi dan peniagaan serta individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan LUGGp.

“Apa yang penting bagi gelembung pelancongan Langkawi ialah kita dapat menjalankan aktiviti pelancongan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang baik untuk memastikan tiada penularan wabak COVID-19 ini dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke pulau ini.

“Alhamdulilah setakat hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah belum lagi menerima laporan para pelancong yang balik dari Langkawi dijangkiti COVID-19,” ujarnya ketika ditemui sempena pelancaran program di salah sebuah resort, di sini kelmarin.

Tambahnya, industri ini perlu mendapat suntikan dan sokongan daripada pihak kerajaan melalui inisiatif-inisiatif baharu yang perlu diperkenalkan oleh pihak kerajaan dalam pembentangan belanjawan 2022 pada penghujung Oktober nanti bagi menghidupkan lagi industri pelancongan Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi Zainuddin Kadir, mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak LADA di atas penganjuran program tersebut yang mencapai jumlah kedatangan pelancong yang begitu baik.

“Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan yang menerajui di bawah kita, pihak industri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif dan memilih Langkawi sebagai projek rintis dan ada negeri serta lokasi lain seperti Melaka dan Tioman telah datang ke Langkawi berjumpa dengan kita dan berbincang bagaimana pendekatan dan mekanisma yang kita buat untuk menjaga Langkawi,” katanya.

Selepas 12 hari pembukaan Langkawi, lokasi pelancongan ini telah menerima kunjungan pelancong sebanyak 24,336 pengunjung dan sasaran seramai 30 ribu pelancong pada bulan ini dijangka dapat tercapai.

~RJ~

Tinggalkan komen anda