
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
IPOH, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Generasi muda menjadi inspirasi serta sumber modal insan terbesar negara dan berpotensi dalam menyumbang kepada pembangunan negara seperti mana dinyatakan dalam dasar pembangunan belia negara.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Perak Mohd Taip Ubah, berkata Program Cambah Minda menjadi platform kepada belia untuk memberikan idea yang baru dan bernas dalam proses membangunkan negara.
“Kita faham belia kita pada hari ini terdedah dengan pelbagai maklumat dalam dunia teknologi moden dan saya berharap program ini memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pendapat dan idea seterusnya memberi manfaat kepada golongan belia khususnya dari negeri Perak,” katanya ketika merasmikan program tersebut yang disiarkan secara langsung di Facebook Penerangan Perak Page, hari ini.
Program Cambah Minda dilaksanakan secara tiga hala melibatkan moderator, panelis dan peserta maya terdiri daripada 20 orang belia serta disiarkan menerusi penstriman langsung di Facebook Penerangan Perak Page.
Sementara itu, Penolong Pengarah JaPen Perak Mohd Fauzi Rosli, ketika ditemui berkata program ini menjadi medium untuk menggalakkan golongan belia menyampaikan pandangan dan pendapat berkenaan isu-isu semasa.
“Program ini dijangka dapat memperkukuh jaringan komunikasi golongan belia sebagai rakan strategik kerajaan dalam memasarkan maklumat dasar kerajaan kepada masyarakat.
“Selain itu kita mengharapkan program ini mampu melahirkan generasi muda yang berfikiran kritis, berilmu dan proaktif dalam perbincangan strategik telesidang.
“Konsep berdiskusi dilaksanakan yang mana para peserta ini diberi peluang untuk terus menyuarakan pendapat atau persoalan kepada panelis jemputan dengan program akan berlangsung setiap Sabtu dengan topik-topik menarik untuk dibicarakan,” katanya.
~RJ~