
Laporan/foto: Peri Chandran (Petaling)/IPD Serdang
SERDANG, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang ketika ini dalam situasi bersiap sedia menghadapi musim bencana.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan, berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dan persiapan Operasi Bencana Peringkat IPD Serdang hari ini.
“Komitmen dalam mengatur langkah keselamatan pada peringkat persediaan amatlah penting bagi memastikan pergerakan bilik gerakan sesuatu kawasan bencana.
“Segala sumber-sumber yang diperlukan pada waktu bencana amat penting untuk melicinkan pergerakan tugasan agensi dan jabatan yang terlibat semasa berlakunya bencana.
“Semua pihak yang terlibat semasa bencana perlu mengikuti Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20, yang telah mengggariskan dasar dan mekanisme pengurusan bencana,” katanya.
Menurutnya, Arahan MKN 20 menjelaskan peranan dan tanggungjawab agensi kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan sukarela.
“Mesyuarat telah membincangkan langkah-langkah perlu diambil oleh agensi dan jabatan sebagai persiapan awal menghadapi bencana.
“Ketua jabatan dan wakil turut memberi taklimat ringkas mengenai fungsi dan tanggungjawab agensi semasa berlakunya sesuatu bencana.
“Agensi kerajaan yang bertanggunjawab di lapangan perlu sentiasa menjaga keselamatan rakyat, kerjasama antara agensi amat penting,” jelasnya.
Menurutnya, setiap berita yang disampaikan kepada pihak media massa haruslah melalui Pengerusi Bencana Daerah ataupun Komandan Bencana kawasan bagi mengelakkan berita palsu atau tidak sahih.
-RI