Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Jaguh Paralimpik Tokyo 2020 Terima Penghargaan Kerajaan Negeri

By 28 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 28 Sept (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri menyampaikan insentif  sebanyak RM150,000 bagi menghargai kejayaan Abdul Latif Romly yang telah memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik 2020 Tokyo, baru-baru ini.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dari kerajaan negeri di atas usaha dan sumbangan beliau dalam memenangi pingat tersebut dan mengharumkan nama Perlis khususnya dan nama Malaysia amnya di mata dunia.

“Semoga ia akan menjadi satu galakkan kepada beliau untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang terutama pada temasya Sukan Paralimpik di Perancis nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Insentif di Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Abdul Latif yang ditemui bersama ibu bapa beliau selepas majlis tersebut menzahirkan perasaan syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas insentif yang diberikan.

“Saya akan berusaha dengan lebih kuat lagi demi mengekalkan kejayaan ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Menteri Besar melihat pingat emas acara lompat jauh yang di menangi oleh Abdul Latif Romly di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.

Azlan (kiri) melihat pingat emas acara lompat jauh yang dimenangi Abdul Latif (dua dari kanan) di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.

Sebelum Sukan Paralimpik 2020 Tokyo, beliau juga pernah memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh T20 di Sukan Paralimpik Rio 2016.

Pada majlis tersebut juga, Menteri Besar turut memaklumkan bahawa mulai tahun hadapan kerajaan negeri akan mewujudkan Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Negeri buat julung kalinya.

“Satu jawatankuasa akan dibentuk dan diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri bagi menentukan atlet yang akan dicalonkan bagi anugerah tersebut mengikut pencapaian mereka di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof dan Exco Belia dan Sukan Negeri Hamizan Hassan.

-NI-

Tinggalkan komen anda