
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari (Johor)/MEDKOM
KOTA ISKANDAR, 19 Sept (Malaysiaaktif) – Kementerian Kewangan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM16.66 juta kepada kerajaan negeri bagi menyelaras projek di bawah Program Jaminan Bekalan Makanan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, daripada jumlah peruntukan yang diberi sebanyak RM2 juta akan diagihkan untuk Program Kolaborasi Syarikat Peneraju dengan Pengusaha Tanaman serta Industri Asas Tani (IAT).
“Program ini adalah satu kerjasama antara syarikat peneraju yang bertindak sebagai pemain industri dengan Pengusaha Tanaman atau Industri Asas Tani (IAT) menerusi urusan jual beli hasil produk pertanian dan seterusnya mewujudkan perjanjian ladang kontrak.
“Satu persefahaman akan dapat dicapai dengan syarikat peneraju dan pengusaha tempatan bagi mendapatkan harga pasaran yang relevan serta memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak dengan nasihat Jabatan Pertanian Negeri Johor,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.
Menurut Hasni, menerusi program ini, setiap syarikat peneraju akan menerima insentif maksimum RM50,000 manakala setiap pengusaha pula menerima insentif maksimum RM20,000.
“Syarikat peneraju akan bertanggungjawab mencari pasaran sama ada tempatan ataupun eksport, manakala pengusaha pula berperanan memastikan produk-produk dapat dikeluarkan dengan kuantiti yang mencukupi, berkualiti dan selamat,” katanya.

Sesi Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Pertanian Negeri Johor bersama syarikat peneraju dan pengusaha tanaman serta industri asas tani.
Hasni berkata, insentif akan diberikan dalam bentuk peralatan, mesin, kelengkapan atau infrastruktur yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti serta pembinaan bangunan Pusat Pengumpulan Hasil Ladang bagi memastikan proses pemasaran berjalan dengan lancar.
“Usaha ini juga merupakan kaedah terbaik dalam membantu para pengusaha yang terdiri daripada petani kecil untuk keluar dari kepompong kumpulan B40, manakala syarikat peneraju juga akan memperoleh produk pertanian yang mencukupi dan berkualiti dan seterusnya mampu meningkatkan kadar Sara Diri (SSR) negara.
“Program ini dijangka mampu mengatasi masalah pemasaran serta lambakan produk pertanian yang sering dihadapi oleh para pengusaha terutamanya pengusaha kecil dalam mendapatkan harga pasaran yang baik,” katanya.
Pada hari ini turut diadakan sesi menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad Kota Iskandar bagi fasa pertama yang membabitkan enam syarikat peneraju dan 20 pengusaha.
Sesi MoU ini turut disaksikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Datuk Samsolbari Jamali.
Bagi sesi MoU fasa dua pula akan diadakan pada Januari 2022 membabitkan enam syarikat peneraju dan 50 pengusaha.
-NI-