
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Tentera Darat Malaysia
PORT DICKSON, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Tahun ini merupakan tahun kedua Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhadapan dengan cabaran dalam menggalas tugas bagi membantu negara mengekang pandemik COVID-19.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Datuk Sri Affendi Buang, berkata situasi ini tidak menjadi penghalang untuk ATM terus memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“ATM sebagai benteng utama pertahanan Negara akan terus komited untuk mendukung misi dan wawasan negara bagi menentukan keamanan dan kedaulatan sentiasa terpelihara.
“Keupayaan yang ditonjolkan adalah sebagai keyakinan kepada rakyat bahawa kesiagaan ATM pada tugas utama tidak terjejas walaupun kini tumpuan diberikan kepada pelaksanaan tugas sekunder dalam membantu menangani COVID-19,” katanya ketika berucap pada Perbarisan Hari ATM ke-88 di Kem Segenting Port Dickson, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan syabas atas pertunjukan yang dipamerkan yang merupakan satu pertunjukan yang menggerunkan.
“Sekarang saya hendak beritahu bahawa kamu semua sudah bersedia untuk demonstrasi berkelas dunia dalam sambutan Hari ATM kali ini yang diadakan di Kem Segenting secara fizikal dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang terkawal tanpa kehadiran penonton dalam kalangan masyarakat setempat.
“Penglibatan seramai 2,500 orang pegawai dan anggota ATM agak berbeza dengan mempamerkan Latihan Kesiagaan Aset dan Kompetensi ATM sebelum disusuli dengan Perbarisan Statik Tempur serta Penyampaian Perutusan Panglima Angkatan Tentera,” katanya.
Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
-FF