Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Kerajaan Negeri Naikkan Elaun Bulanan 543 JPKK Pahang

By 23 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Kuantan)

KUANTAN, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bersetuju menaikkan elaun bulanan bagi 543 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, MMK Negeri bersetuju menaikkan elaun bulanan bagi 543 Pengerusi JPKK di negeri ini daripada RM500 kepada RM750.

“Kenaikan sebanyak RM250 atau 50 peratus ini berkuatkuasa 1 Jun 2021 yang mana nilai kenaikan ini ditanggung oleh kerajaan negeri terlebih dahulu sehinggalah kelulusan mengenainya diperoleh daripada agensi kerajaan persekutuan iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Beliau berharap dengan kenaikan ini dapat mengurangkan beban kewangan mereka yang berkenaan, seterusnya menjadi pendorong untuk menunaikan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan lagi.

“Menerusi mesyuarat MMK juga, kelulusan diberi dengan cadangan pewujudan tiga lagi JPKK di negeri ini iaitu JPKK-JPKK Kampung Seri Sedia, Ringlet dan Kampung Raja Cameron Highlands.

“Sementara menunggu kelulusan kewangan dan penubuhannya oleh KPLB, kos bagi pengendalian ketiga-tiga JPKK baharu ini juga akan ditangung terlebih dahulu oleh kerajaan negeri,” katanya.

Wan Rosdy berkata dengan penambahan JPKK-JPKK yang baharu ini diharap dapat meningkatkan lagi khidmat masyarakat yang lebih padu dan berkesan demi manfaat para penduduk di kawasan-kawasan terlibat.

-AH-

Tinggalkan komen anda