
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 dalam negara semalam mencatat penurunan apabila merekodkan 17,577 kes berbanding 18,815 kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di media sosialnya berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif kes kini 2,067,327.
Beliau berkata Sarawak kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 3,480 kes, disusuli Selangor (2,646) dan Johor dengan 2,334 kes.
Empat negeri pula mencatatkan kes baharu melebihi 1,000 iaitu Perak dengan 1,596 kes, Sabah (1,533), Pulau Pinang (1,462) dan Kedah (1,173).
Negeri-negeri lain pula merekodkan kes di bawah empat angka iaitu Kelantan (869), Pahang (832), Terengganu (719), Kuala Lumpur (366), Melaka (287), Negeri Sembilan (198), Perlis (41), Putrajaya (31) dan Labuan (10).
Dr Noor Hisham turut memaklumkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital COVID-19 di seluruh negara setakat kelmarin adalah 76 peratus daripada 1,611 katil, manakala katil bukan ICU sebanyak 70 peratus daripada 17,043 katil.
— BERNAMA