
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 semalam meningkat sedikit iaitu 11,332 kes, dengan Sarawak kekal merekodkan kes tertinggi.
Kelmarin negara merekodkan 10,959 kes baharu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini adalah 2,220,526 kes.
“Sarawak masih merekodkan kes baharu tertinggi iaitu 2,358 kes diikuti Johor (1,319 kes), Selangor (1,231 kes) dan Kelantan dengan 1,088 kes,” katanya yang berkongsi data tersebut melalui Facebooknya semalam.
Data itu juga memaklumkan terdapat lapan negeri yang masih merekod tiga digit kes iaitu Sabah dengan 965 kes, Pulau Pinang (895 kes), Kedah (819 kes), Perak (678 kes), Pahang (677 kes), Terengganu (629 kes), Melaka (303 kes), Kuala Lumpur (240 kes).
Tiga negeri pula mencatat dua digit kes iaitu Negeri Sembilan dengan 89 kes, Putrajaya dan Perlis masing-masing dengan 19 kes.
Labuan yang kelmarin tidak merekodkan sebarang kes, semalam mencatat tiga kes baharu.
— BERNAMA