
Laporan/foto: Saraspathy Letchumanan/Jaitripta Kaur Gajit Singh (WPKL)
KUALA LUMPUR, 16 Sep
(Malaysiaaktif) – Konvoi kereta berhias pada Program Merdeka@Komuniti Parlimen Kepong menjadikan sambutan Hari Malaysia yang diraikan hari ini lebih bermakna buat komuniti di Taman Permata Fadason, Kepong.
Penolong Pengarah Cawangan Media Siber JaPen WPKLP Tengku Nor Liza Tengku Yahya, berkata konvoi yang membabitkan 10 kereta berhias itu diketuai unit bergerak Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (JaPen WPKLP) yang mengelilingi kawasan taman perumahan sambil memainkan lagu-lagu patriotik bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia.
“Konvoi kereta berhias patriotik itu julung kali diadakan sebagai salah satu pengisian pertandingan kepada penduduk setempat pada Program Merdeka@Komuniti.
“Selain itu, turut diadakan pertandingan hiasan bendera kategori setiap tingkat di rumah Apartment Taman Permata Fadason,” katanya ketika merasmikan program di kawasan kediaman tersebut, di sini semalam.
Menurut Tengku Nor Liza, program Merdeka@Komuniti itu merupakan anjuran Jabatan Penerangan dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Fadason sempena Hari Malaysia.
“Kreativiti yang ditunjukkan penduduk dengan menghias Jalur Gemilang secara tidak langsung melambangkan semangat perpaduan.
“Pandemik COVID-19 tidak menjadi penghalang mereka untuk meraikan Hari Malaysia dalam norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.
Dalam pada itu, juara kereta berhias, Hamid Othman, 53, berkata penglibatannya dalam pertandingan itu secara tidak langsung membuktikan rasa cinta akan negara.
“Saya berasa amat gembira dan bersemangat diberi peluang untuk menzahirkan cinta saya terhadap Negara melalui kreativiti,” katanya.
Pada program sama, turut diadakan upacara penyerahan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf.
-ZS-