Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Liputan 4G Cecah 94 Peratus

By 30 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Tahap liputan rangkaian generasi keempat (4G) di kawasan berpenduduk mencecah 94 peratus setakat akhir Ogos lepas hasil pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), berbanding 91.8 peratus ketika inisiatif itu mula dilaksanakan pada September 2020.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini, berkata bagi tempoh yang sama, purata kelajuan jalur lebar mudah alih negara juga menunjukkan peningkatan dengan mencapai 29.14Mbps berbanding 25Mbps sebelum itu.

Menurutnya sejumlah 6.255 juta premis pula telah diliputi dengan rangkaian gentian optik berbanding 4.95 juta premis pada September 2020.

“Perkembangan ini susulan tindakan proaktif kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam mempertingkatkan tahap kesalinghubungan dalam negara,” katanya.

Menurut SKMM, di bawah Pelan JENDELA fasa satu, sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu akan dibina di kawasan bandar dan luar bandar bermula suku akhir tahun ini.

Turut dilaksanakan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit (VSAT) di 839 lokasi di kawasan kurang berpenduduk di pedalaman pada suku keempat 2021 bagi meningkatkan capaian liputan internet.

Suruhanjaya itu berkata perkembangan memberangsangkan pelaksanaan Pelan JENDELA didorong sokongan padu kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), kerjasama pihak industri serta komitmen kerajaan dalam memastikan kesalinghubungan internet yang lebih baik, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.

Laporan suku tahun keempat Pelan JENDELA yang memperincikan perkembangan terkini pelaksanaannya akan diumumkan awal Oktober ini, kata SKMM.

Katanya pembangunan JENDELA Map pula memberi peluang kepada rakyat mengajukan maklum balas atau aduan kepada penyedia perkhidmatan bagi menambah baik kualiti dan liputan perkhidmatan jalur lebar, serta status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar mereka.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda