Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Lokasi Tanah Runtuh Diisytihar Kawasan Bencana – MB

By 18 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

HULU KELANG, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri Selangor mengisytiharkan lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights sebagai kawasan bencana.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kejadian yang dilaporkan pukul 9.32 malam itu melibatkan tiga lot kediaman menyebabkan tanah turun ke sungai dan menghimpit kawasan rumah bandar (town house).

“Daripada 32 unit rumah bandar, hanya 24 unit rumah yang berpenghuni dan terjejas.

“Sehubungan itu tiga lot kediaman bernombor enam, lapan serta 10 dikategorikan tidak selamat dan 24 rumah bandar di bahagian bawah diarahkan untuk berpindah,” katanya selepas meninjau kawasan runtuhan hari ini.

Mengulas tentang kesediaan kerajaan pusat menyalurkan peruntukan RM1 juta untuk membina kepingan besi, beliau berkata pihaknya akan meneliti laporan teknikal daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sebelum mengumumkan tindakan lanjut.

“Kalau kerajaan nak bagi terima kasih banyak, jika tidak kita akan usahakan cara lain.

“Tindakan sekarang adalah meletakkan kanvas untuk mengelakkan terdedah kepada air hujan atau unsur-unsur lain yang menyebabkan runtuhan susulan.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga akan membawa masuk jentera di kawasan sungai untuk mengelakkan aliran air tersekat,” jelas beliau.

Katanya, kerajaan negeri akan menyalurkan sumbangan RM500 dan bakul makanan kepada setiap keluarga yang terjejas.

-RI

Tinggalkan komen anda