Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Perlu Strategi untuk Raih Pasaran Pelancong Muslim

By 10 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Malaysia perlu mengadakan strategi dan tindakan untuk memenuhi permintaan produk serta perkhidmatan yang mesra Muslim, memandangkan pasaran pelancongan Muslim diunjur akan pulih sehingga 80 peratus daripada tahap pra-pandemik pada 2023.

Pengerusi Pusat Pelancongan Islam (ITC), Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata pasaran pelancongan Muslim akan terus berkembang melangkaui COVID-19 kerana permintaan perjalanan yang telah terpendam sebelum ini.

“Pelancong Muslim melakukan perjalanan dengan alasan yang sama dengan semua orang. Keperluan mereka dalam setiap keadaan mungkin berbeza tetapi ini memberikan peluang perniagaan yang luar biasa bagi keseluruhan rantaian bekalan pelancongan.

“Ini membuka peluang untuk destinasi pelancongan dan perniagaan dalam ekonomi Halal,” kata Noor Zari, yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Bercakap di Forum Hospitaliti dan Pelancongan Mesra Muslim semalam, beliau berkata kedatangan pelancong Muslim di Malaysia mencapai 5.33 juta pada 2019, menyumbang RM16.72 bilion kepada ekonomi negara.

Pada tahun yang sama, kedatangan pelancong dari Indonesia sahaja melepasi lebih dari dua juta, menyumbang kepada pendapatan pelancongan sekitar RM7.3 bilion, katanya.

Daripada segi purata penginapan, pelancong Arab Saudi tinggal lebih kurang 10.8 hari, Kuwait (10.2 hari) dan Emiriyah Arab Bersatu (9.7 hari), dengan perbelanjaan per kapita sebanyak RM11,660, RM9,080 serta RM10,095.

“Pelancong dari wilayah Timur Tengah amat terkenal dengan kegemaran untuk berjalan dalam kumpulan yang besar, kadang-kadang dengan seluruh keluarga mereka dan tinggal jauh lebih lama berbanding pelancong lain,” tambahnya.

ITC adalah entiti di bawah MOTAC yang dipertanggungjawabkan untuk mengembangkan segmen pelancongan Islam di Malaysia, menganjurkan pelancongan yang mesra Muslim dengan menawarkan penyelidikan dan maklumat pasaran, latihan, perundingan pengembangan industri, piawaian termasuk pelancongan yang mesra Muslim, perakuan serta pertukaran maklumat.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda