
Laporan/foto: Ahmad Suhaimi Mokhtar/Inthran Krishnan (WPKL)
KUALA LUMPUR, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Masjid bukan sahaja menjadi tempat beribadat, bahkan peranannya turut mencakupi sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan kariahnya.
Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd. Fadzil Abu Kassim, berkata antara aspek kebajikan kariah termasuklah penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Bantuan ini diwujudkan untuk menampung dan meringankan kesempitan yang dialami oleh anak kariah yang terkesan akibat COVID-19.
“Pada masa sama, dengan penyaluran bantuan sebegini, pihak masjid dapat menyantuni anak kariah yang terputus sumber pendapatan dan mereka yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya ketika ditemui pada Program Sepakat@Komuniti di Masjid Abdullah Hukum, Lembah Pantai, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fadzil, program dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JaPen WPKLP) itu menyaksikan seramai 30 orang penduduk Lembah Pantai menerima sumbangan bakul makanan.
“Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Penolong Pengarah Cawangan Media Siber JaPen WPKLP, Tengku Nor Liza Tengku Yahya.

Sebahagian penerima sumbangan bakul makanan yang hadir pada Program Sepakat@Komuniti Parlimen Lembah Pantai.
“Pada program tersebut turut diadakan upacara kibar Jalur Gemilang sebagai simbolik menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Zon 6 JAWI Mohd. Faizul Mohd. Razali, Pegawai Penerangan Daerah Lembah Pantai dan Segambut Kyadizah Abdul Hamid dan Pengerusi Masjid Abdullah Hukum Sharif Sabdin.
-ZS-