
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Kulai)
KULAI, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Hospital Medan Daerah Kulai dibuka bagi membantu menampung bilangan pesakit COVID-19, kekurangan fasiliti katil serta meningkatkan kapasiti hospital awam bagi menangani gelombang COVID-19.
Menurut Exco MERCY Malaysia Norazam Ab Samah, hospital ini mempunyai kapasiti 60 katil untuk pesakit COVID-19 dan mempunyai kemudahan bilik air, tandas serta mempunyai ventilasi yang bersesuaian bagi menempatkan pesakit COVID-19 yang telah melepasi tahap kritikal sementara menunggu masa untuk keluar wad.
“Hospital Medan MERCY Malaysia ini akan beroperasi selama dua bulan sehingga pertengahan bulan November ini,” katanya ketika sesi penerangan dan lawatan ke tapak khemah hospital medan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai, di sini semalam.
Sementara itu, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor R. Vidyananthan memaklumkan bahawa hospital ini telah mula beroperasi sejak hari sabtu lalu.

Pesakit COVID-19 akan ditempatkan di sini bagi mendapatkan rawatan susulan di khemah Hospital Medan di HTSMTI Kulai.
“Kemudahan ini dibuka bagi menampung bilangan pesakit COVID-19 yang meningkat secara mendadak dan melebihi kapasiti sejak belakangan ini di mana jumlah penggunaan katil juga telah melepasi 100 peratus.
“Pihak pengurusan hospital telah mendapat kerjasama MERCY Malaysia dalam mewujudkan hospital medan ini beserta kelengkapan peralatan operasi dan penambahan kapasiti katil bagi wad khusus dalam merawat kes COVID-19 bagi kategori 3 hingga 5,” katanya.
Menurut Vidyananthan, statistik terkini setakat 11 September, menunjukkan seramai 75 orang pesakit telah dirawat di hospital medan ini dan tujuh daripadanya masih aktif menjalani rawatan.
“MERCY Malaysia telah menyerahkan hospital medan yang dibangunkan itu kepada Pengarah Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai Johor, semalam,” katanya.
-NI-