Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

MERCY Malaysia Jayakan PICK Kota Tinggi Bagi Capai Imuniti Kelompok

By 10 September 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/ Muhammad Fahmi Ariffin (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 10 Sept ( Malaysiaaktif ) – Program Outreach Vaksinasi COVID-19 dengan kerjasama MERCY Malaysia berlangsung selama dua hari bermula 9 hingga 10 September 2021 bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mawai Taman Daiman Jaya.

Menurut Pengurus Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SJKC Mawai dari MERCY Malaysia Abu Zar Al Ghifari Abdul Rahman, program ini diadakan bagi memastikan masyarakat di daerah Kota Tinggi tidak ketinggalan dalam mendapatkan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 seterusnya mencapai imuniti kelompok.

“Sebanyak 4,000 dos suntikan vaksin disediakan untuk masyarakat di daerah ini secara walk in di mana 2,000 dos suntikan disediakan bagi hari pertama, dan 2,000 dos lagi untuk hari kedua.

“Program ini berkonsepkan siapa cepat dia dapat secara walk in dan terbuka kepada para penduduk setempat atau mereka yang menetap di daerah Kota Tinggi berusia 18 tahun ke atas serta belum mempunyai tarikh janji temu di mana-mana PPV,” katanya ketika di temui di PPV SJKC Mawai, di sini, semalam.

Para penerima vaksin di PPV SJKC Mawai sedang menunggu untuk menerima suntikan vaksin.

Para penerima vaksin di ruangan menunggu PPV SJKC Mawai untuk menerima suntikan vaksin.

Tambah beliau, sasaran utama penganjuran program ini adalah para penduduk daerah Kota Tinggi yang terdiri daripada warganegara Malaysia dan diikuti dengan warga asing yang menetap dan bekerja di daerah ini.

“Setiap individu yang hendak menerima vaksin melalui inisiatif ini terutamanya warga asing perlulah memastikan MySejahtera mereka bebas dari status risiko seperti kontak kasual bergejala, kontak rapat, kes suspek dan kes positif bagi membolehkan mereka dibenarkan masuk ke PPV.

“Sukarelawan Southern Volunteers (SV) yang bertugas akan membuat saringan bagi memastikan mereka yang berisiko rendah sahaja dibenarkan masuk bagi mendapatkan suntikan vaksin,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, penjarakan fizikal diamalkan di dalam PPV ini di mana suntikan akan dilakukan di dalam Bas Mobilisasi Vaksin Kebangsaan (MOVAK) yang disediakan.

Bas MOVAK yang digunakan untuk suntikan vaksin di PPV SJKC Mawai

Bas MOVAK yang digunakan untuk suntikan vaksin di PPV SJKC Mawai

Seorang penerima vaksin yang ditemui, Nur Khaliza Ali Akbar, 35, dari Felda Bukit Easter gembira dengan pelaksanaan program ini yang nyata memudahkan masyarakat setempat untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Saya telah mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera namun telah terlepas tarikh janji temu disebabkan urusan yang tidak dapat dielakkan,

“Saya amat menyokong program seumpama ini diadakan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan suntikan vaksin tanpa menunggu tarikh janji temu, ditambah lagi dengan situasi sekarang yang memerlukan individu lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan memasuki ke premis perniagaan atau agensi kerajaan,” tambahnya.

Sementara itu, Shifatullah Haque, 23, warganegara Bangladesh berkata beliau dan rakan-rakan senegara menerima maklumat berkaitan penganjuran program ini dari pihak majikan mereka.

“Kami sangat gembira dan bersemangat untuk mendapatkan suntikan ini kerana dengan cara ini kami boleh kembali bekerja seperti biasa.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia di atas keprihatinan dan memberikan suntikan ini secara percuma kepada kami,” katanya.

Para penduduk di daerah ini yang ingin mendapatkan suntikan vaksin, boleh hadir ke SJKC Mawai Taman Daiman Jaya dengan membawa kad pengenalan atau pasport dan juga telefon bimbit yang mempunyai aplikasi MySejahtera.

-NI-

Tinggalkan komen anda