
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/MPS
SELAYANG, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita sebuah kafe di Desa Aman apabila didapati melanggar syarat lesen dan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua apabila disyaki mengadakan hiburan di tempat berkenaan.
Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad, berkata pihaknya bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan operasi terhadap premis berkenaan susulan aduan premis berkenaan beroperasi dalam keadaan mencurigakan.
“Premis tersebut beroperasi dalam keadaan mencurigakan apabila didapati laluan keluar masuk hanya melalui pintu belakang sahaja manakala pintu hadapan berkunci.
“Semasa serbuan dijalankan, beberapa pengunjung dan pekerja warga asing sempat melarikan diri sebelum anggota penguatkuasa MPS bersama JIM dapat menyekat laluan masuk di pintu belakang premis tersebut.
“Namun, seramai tujuh orang wanita warga asing telah ditahan oleh pihak JIM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, MPS telah mengambil tindakan sitaan dengan merampas kerusi, meja, peti ais, speaker, televisyen dan arak di bawah Undang-Undang Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian( MPS) 2007 dan Undang- Undang Kecil Establishment Makanan (MPS) 2007.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Zin memaklumkan, MPS turut membuat tindakan sitaan kepada para penjaja di sekitar Selayang Jaya yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Berlaku kesulitan orang ramai ketika meletakkan kereta di petak pakir di kawasan komersil tersebut.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, hanya tiga orang penjaja sahaja yang mempunyai permit manakala kebanyakannya tidak mempunyai permit yang sah dengan MPS.
“Jabatan Penguatkuasa telah berkali-kali menasihati penjaja ini agar memohon permit dan tidak berniaga dikawasan tersebut tanpa kebenaran namun masih ingkar atas arahan-arahan tersebut,” katanya.
Menurutnya, tindakan sitaan diambil kerana ianya menimbulkan kacau ganggu serta kesesakan jalan raya selain aduan penduduk yang berterusan.
Jelas beliau, sitaan ke atas barangan perniagaan 10 orang penjaja haram di Selayang Jaya mengikut Undang-Undang 3 Penjaja (MPS) 2007 ini telah dijalankan oleh 75 orang anggota penguatkuasa MPS.
-RI