Skip to main content
Berita SelatanMelaka

Parlimen Masjid Tanah Giat Tingkat Jumlah Pelajar Divaksin

By 30 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)/FB Mas Ermieyati Samsudin

MASJID TANAH, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah telah mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) dalam Parlimen Masjid Tanah bagi melihat sendiri kelancaran pemberian vaksinasi dalam parlimen berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin, pihaknya telah mengambil kesempatan untuk turun padang dan meninjau kelancaran penyampaian vaksinasi kepada penduduk setempat selain mengambil maklum permasalahan yang dihadapi oleh petugas di PPV.

“Kami akan memastikan setiap remaja yang layak menerima vaksin tidak terlepas peluang berkenaan, bagi membantu kerajaan mencapai objektif meningkatkan kadar vaksinasi di Malaysia.

“Kedua-dua PPV telah pun menunjukkan prestasi yang amat baik, setakat semalam, purata sejumlah 600 di PPV Lendu termasuk pelajar secara jumpa terus dan 800 pelajar di PPV Masjid Tanah telahpun divaksin.

Mas Ermieyati beramah mesra bersama pengunjung PPV.

Mas Ermieyati beramah mesra bersama pengunjung PPV.

“Saya bersyukur dengan peningkatan kadar penduduk negeri Melaka yang lengkap dua dos vaksin yang kini mencecah kadar 78.9 peratus dan akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi jumlah berkenaan,” katanya ketika ditemui di PPV Daerah Masjid Tanah, di sini baru-baru ini.

Pada kesempatan yang sama, Mas Ermieyati turut beramah mesra bersama petugas dan pengunjung kedua-dua PPV berkenaan dan turut menyampaikan sumbangan bernilai RM1,000 untuk melengkapkan keperluan di PPV berkenaan.

Turut hadir pada program berkenaan adalah Penyelaras PPV Masjid Tanah, Dr. Huang Zhen Zhi.

-FF

 

Tinggalkan komen anda