
Laporan/foto: Mastika Hablum (Jasin)
JASIN, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Sempena Sambutan Hari Malaysia ke-58, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah melancarkan Program Pasar Tani Khas Hari Malaysia Peringkat Negeri menyantuni golongan peniaga dan pengunjung di Pasar Tani Jasin.
Menurut Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Ghazalee Muhamad, pemilihan Pasar Tani Jasin sebagai lokasi penganjuran program Peringkat Negeri Melaka kerana pasar tani tersebut dikunjungi oleh pengunjung tempatan dan penyertaan usahawan yang ramai.
“Sempena Hari Malaysia Peringkat Negeri Melaka, lima pesara dari Persatuan Veteran ATM dan Persatuan Bekas Polis Malaysia turut diundang bagi menerima bantuan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menjaga keamanan negara,” ujar beliau ketika ditemui sempena program di pasar tani tersebut, di sini semalam.
Abdul Latip Jantan, 70 yang merupakan pesara Persatuan Veteran ATM hadir menerima sumbangan melahirkan rasa terharu dan bersyukur keringat yang gugur satu ketika dulu masih diingati dan dihargai.
“Perjuangan kami demi menjaga keselamatan negara satu ketika dahulu telah membawa keamanan pada hari ini, generasi muda harus lah menjaganya dengan baik supaya negara terus terus aman maju dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Manakala, Pengarah FAMA Negeri Melaka Hairudin Yunos, berkata bahawa Pasar Tani Jasin termasuk sembilan buah lagi Pasar Tani diseluruh Negeri Melaka ini mula beroperasi semula pada 1 September selepas sahaja pengumuman PPN Fasa 2.
“Namun begitu, bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi oleh peniaga dengan penjarakan tiga meter antara gerai, kawal selia di pintu masuk dan keluar oleh pihak berkuasa serta penetapan had kemasukan pengunjung dalam satu masa perlu dilaksanakan,” ujar Hairudin.
-FF