Skip to main content
Berita TimurTerengganu

[KEMAS KINI] Patriotik Perlu Disemai – Tengku Mohd Nazari

By 13 September 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maherah Marina Mahusin/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Pihak Pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar (SMKBB), Kuala Terengganu mengambil inisiatif menggunakan medium dalam talian dalam pelbagai acara sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 memandangkan persekolahan secara fizikal masih belum dibuka.

Pengetua SMKBB Tengku Mohd Nazari Tengku Ngah, berkata pelbagai program telah diaturkan sepanjang sambutan bulan kebangsaan antaranya Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sekolah, Pertandingan Memori Patriotik, forum serta Program Pengisahan Sejarah Terengganu yang diadakan pada setiap hari Selasa.

“Pihak sekolah juga berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan oleh Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu kerana bersama-sama turun padang menyemarakkan lagi Kempen Kibarkan Jalur Gemilang kepada masyarakat setempat mahupun di sekolah,” katanya ketika ditemui di sekolahnya, di sini baru-baru ini.

Penyerahan Jalur Gemilang melalui Program Info on wheels kepada Pengetua SMKBB Tengku Mohd Nazari Tengku Ngah ( tengah) sebagai simbolik Kempen Kibar Jalur Gemilang.

Penyerahan Jalur Gemilang kepada Pengetua SMKBB (tengah) sebagai simbolik Kempen Kibar Jalur Gemilang.

Katanya, penyerahan Jalur Gemilang oleh Jabatan Penerangan (JaPen) membawa mesej besar dalam menyuntik semangat rakyat untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang biarpun negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.

“Kempen dan usaha murni JaPen ini seharusnya disambut baik dan dapat diteruskan lagi dalam usaha menyemai semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak pelajar dan seluruh rakyat Malaysia.

“Penghayatan dalam amalan mengibarkan Jalur Gemilang perlu disemai supaya kekal sebagai suatu tradisi yang baik dalam kalangan generasi muda khususnya dan dalam masyarakat berbilang kaum,” tambah beliau.

Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBB Ayob Mamat, pula mengingatkan para pelajar agar lebih menghargai kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh nenek moyang terdahulu dengan menguatkan jati diri dalam mempertahankan tanah air ini agar kedaulatan negara tidak dicabuli.

Program Pengisahan Sejarah Terengganu antara program yang diadakan secara atas talian bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2021.

Program Pengisahan Sejarah Terengganu antara program yang diadakan secara dalam talian bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2021.

Manakala, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu Rusmiza Anuar, usaha yang dilaksanakan oleh SMKBB ini harus diberi pujian kerana ia bukti serta lambang semangat cinta negara yang tidak pernah luntur biarpun ia dilaksanakan secara sederhana.

“Boleh dikatakan warga sekolah khususnya guru-guru dan pelajar-pelajar juga telah memainkan peranan yang penting dalam memutuskan rantaian COVID-19.

“Sebagai contoh, pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dibuat dan disertai oleh guru dan para pelajar juga merupakan salah satu usaha dan tanggungjawab yang ditunaikan sebagai warganegara.

“Perkara ini jelas membuktikan keprihatinan mereka dengan berkorban masa, tenaga demi memastikan pendidikan dan pembelajaran terus berjalan agar tiada pelajar tercicir dalam mendapatkan ilmu,” katanya.

Tinggalkan komen anda