
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pihaknya bersama Kementerian Luar Negeri dan Pejabat Peguam Negara dalam proses membawa pulang usahawan kosmetik, Muhamad Sajjad Kamaruzzaman ke Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata terpulang kepada pihak berkaitan untuk memberi kuasa kepada PDRM bagi membolehkan individu yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat dibawa pulang berdasar undang-undang Malaysia dan antarabangsa.
“Dinasihatkan agar individu ini menyerah diri secara baik kerana kes yang dihadapi Nur Sajat bukan kes besar.
“Pulanglah ke negara dengan cara baik untuk membolehkan dia berhadapan kes-kes yang beliau lalui,” katanya semasa sidang media di Rawang, hari ini.
Menurutnya, usahawan berusia 36 tahun itu disahkan ditangkap pihak berkuasa Thailand pada 8 September lalu di Bangkok.
“Beliau telah dituduh di bawah akta Imigresen Thailand dan telah dihukum.
“Namun individu ini telah memohon taraf pelarian di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Nur Sajat ditahan pihak Imigresen Thailand pada 8 September lalu kerana memiliki pasport tidak sah.
Abd Jalil dalam kenyataannya semalam, berkata individu tersebut dikehendaki di Malaysia kerana menghalang penjawat awam dan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.
-RI