Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pelajar Tingkatan Lima di Perlis Mula Terima Suntikan Vaksin COVID-19

By 21 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 3,747 orang pelajar tingkatan lima di seluruh negeri ini akan menerima suntikan vaksin mulai 20 hingga 23 September ini.

Menurut Exco Pendidikan Negeri Rozieana Ahmad, para pelajar ini akan menerima suntikan vaksin jenama Pfizer-BioNTech di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

“Jabatan Pendidikan Negeri telah mengedarkan senarai PPV kepada ibu bapa dan penjaga pelajar di mana mereka juga turut perlu hadir bersama ke pusat-pusat PPV yang telah ditetapkan seperti PPV Kubang Gajah, PPV Dewan 2020 dan PPV Dewan Seri Melati mengikut tarikh dan masa yang telah diberikan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan pemberian vaksin kepada pelajar di PPV Dewan 2020, di sini semalam.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis kerana bekerja keras demi menyambut seruan kerajaan dalam memastikan para pelajar menerima suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan bermula pada bulan hadapan.

Rozieana Ahmad turut meninjau proses pemberian vaksin kepada pelajar tingkatan 5 di PPV Dewan 2020.

Rozieana Ahmad meninjau proses pemberian vaksin kepada pelajar tingkatan lima di PPV Dewan 2020.

“Di PPV Dewan 2020 hari ini lebih 700 pelajar tingkatan lima daripada 14 sekolah menengah menerima vaksin dan mereka ditemani para penjaga masing-masing.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada ibu-bapa dan penjaga di atas sokongan yang diberi dalam menjayakan program vaksinasi kepada remaja dalam memastikan imuniti kelompok dapat dicapai,” ujarnya.

Seorang pelajar yang ditemui, Ku Muhd Amar Ku Abdul Tawaf, 17, dari Sekolah Menengah Derma berkata pada mulanya beliau berasa sedikit gementar untuk  menerima suntikan vaksin ini.

“Namun di atas sokongan yang diberikan oleh ahli keluarga, saya bertambah yakin untuk menerimanya.

“Dengan suntikan vaksin ini, saya berasa lebih selamat untuk hadir ke sekolah dan secara tidak langsung membantu kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda