
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)/PKM DUN Seberang Takir
KUALA NERUS, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 12 orang warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang tidak berkemampuan untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah mendapatkan vaksin di kediaman masing-masing.
Program pemberian vaksin berkenaan dilaksanakan melalui pasukan kenderaan bergerak dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin dan Pegawai Penyelaras Seberang Takir.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab, berkata pemberian vaksin kepada golongan yang memerlukan ini dipandang serius supaya mereka mendapatkan vaksin dengan kadar segera.

Mohd Fadhil Wahab (kanan) mengharapkan lebih ramai golongan memerlukan mendapatkan vaksin dengan kadar segera.
“Kaedah turun padang seperti ini memberi peluang kepada pemimpin setempat mengetahui keadaan masyarakat secara terus dan di samping itu, membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyelesaikan proses vaksinasi kepada mereka.
“Diharapkan dengan usaha murni ini akan memudahkan golongan ini untuk mendapatkan vaksin yang lengkap tanpa menyukarkan mereka untuk pergi ke PPV,” katanya ketika ditemui di salah sebuah rumah penerima vaksin, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Zainun Ismail, 48, yang menjaga kakaknya yang terlantar secara bergilir bersama adik beradiknya yang lain, meluahkan rasa syukur apabila kakaknya selesai mendapatkan vaksin seperti yang disarankan oleh kerajaan.
“Saya berasa lega dan bersyukur kerana tidak perlu membawa kakak ke PPV kerana keadaan kakak yang tidak mengizinkan untuk dibawa ke mana-mana,” katanya.
Tambah Zainun, kakaknya yang telah berusia lebih 80-an memerlukan penjagaan rapi setiap hari dan dia berasa bersyukur apabila pemimpin setempat cakna dengan keadaan mereka sekeluarga.
Sehingga hari ini, Terengganu telah mencapai peratusan individu dewasa yang lengkap divaksin sebanyak 83.2 peratus dengan jumlah keseluruhan seramai 674,792 orang.
-ii-